Perkara Sunat Selain Aqiqah Pada Hari Ketujuh
Selain daripada aqiqah yang disunatkan pada hari ketujuh itu ialah sunat dicukur keseluruhan rambut anak yang diaqiqahkan sama ada anak itu lelaki ataupun perempuan. Menurut pendapat yang ashah, sunat mencukur rambut anak itu selepas menyembelih binatang aqiqah. (Al-Majmu‘: 8/324-325)
Sehubungan dengan itu, meskipun amalan bercukur itu adalah sunat, namun terdapat bentuk-bentuk cukuran yang dilarang oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam iaitu apa yang disebut dalam bahasa Arab sebagai qaza‘ (قزع). Qaza‘ ialah mencukur sebahagian rambut kanak-kanak dan meninggalkan sebahagian yang lain. Sama ada mencukur di tengah kepala dan meninggalkan yang tepi, mencukur di tepi meninggalkan rambut di tengah atau mencukur rambut depan meninggalkan rambut belakang atau sebaliknya. Semua ini dinamakan qaza‘.
Sementara mencukur keseluruhan rambut tidak disunatkan kecuali bagi orang-orang yang mengerjakan haji atau umrah atau orang yang baru masuk Islam atau anak yang dilahirkan. Manakala perempuan makruh mencukur rambut kecuali dalam keadaan darurat. (Bujairimi ‘ala al-Khatib: 4/437-438)
Larangan melakukan qaza‘ ini telah disebut dengan jelas di dalam hadis daripada ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma katanya yang maksudnya :
"Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menegah daripada melakukan qaza‘ (mencukur sebahagian daripada rambut kepala)."
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis yang lain daripada ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma yang maksudnya :
"Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah melihat seorang kanak-kanak yang dicukur sebahagian rambutnya dan ditinggalkan sebahagian yang lain, lalu Nabi melarang mereka berbuat demikian dan Baginda bersabda: "Kamu cukur (rambut itu) kesemuanya atau kamu tinggalkan kesemuanya (tidak mencukurnya)."
(Hadis riwayat Abu Daud)
Sunat disedekahkan emas atau perak hasil daripada timbangan berat rambut yang dicukur itu kepada fakir miskin jika berkemampuan. Jika tidak mampu, maka tidaklah diberatkan ke atas ibu bapa anak tersebut melainkan sekadar yang terupaya, umpamanya digantikan dengan nilaian wang atau sebagainya mengikut kemampuan.
Hal ini bersandarkan kepada hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada ‘Ali bin Abu Thalib katanya yang maksudnya:
"Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah beraqiqah untuk Hasan dengan seekor kambing dan Baginda bersabda: "Wahai Fatimah! Cukurlah kepalanya (rambutnya) dan bersedekahlah seberat timbangan rambutnya itu dengan perak." (‘Ali) berkata: "Lalu dia (Fatimah) timbang (rambut anaknya itu), maka beratnya adalah satu dirham atau setengah dirham."
(Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Sunat dilumuri kepala kanak-kanak itu dengan wangi-wangian seperti za‘faran (kuma kuma) atau khaluf (daripada wangi-wangian yang berwarna kuning dan merah. Makruh dilumuri kepala kanak-kanak itu dengan darah binatang aqiqah. (Al-Majmu‘: 8/324) Sebagaimana di dalam hadis yang diceritakan oleh ‘Abdullah bin Buraidah katanya yang maksudnya :
"Aku pernah mendengar Abu Buraidah berkata: "Kami pada zaman jahiliyyah, apabila salah seorang daripada kami dikurniakan seorang anak lelaki, disembelih seekor kambing dan dilumuri kepalanya (anak itu) dengan darahnya (kambing). Ketika Allah mendatangkan Islam, kami menyembelih seekor kambing dan mencukur rambutnya (anak itu) serta melumurinya (kepala anak itu) dengan za‘faran (sejenis wangi-wangian)."
(Hadis riwayat Abu Daud)
Sunat memberi nama anak yang baru dilahirkan pada hari ketujuh daripada kelahiran. Sebagaimana di dalam hadis daripada ‘Amr bin Syu‘aib daripada bapanya daripada datuknya yang maksudnya :
"Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan agar memberi nama kepada anak yang baru lahir pada hari ketujuh daripada hari kelahirannya, menghilangkan kotoran daripadanya (mencukur rambut) dan membuat aqiqah untuknya."
(Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Bolehlah juga diberi nama anak tersebut pada saat hari dia dilahirkan. Sebagaimana di dalam hadis daripada Anas Radhiallahu ‘anhu katanya yang maksudnya :
"Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda: "Anakku lahir pada malam tadi, maka aku beri nama dengan nama datukku iaitu Ibrahim."
(Hadis riwayat Muslim dan selainnya)
Bolehlah juga diberi nama anak tersebut sebelum hari ketujuh atau pun selepasnya. (Al-Majmu‘: 8/326)
Jika anak yang meninggal kerana keguguran dan sudah ditiupkan roh ke dalamnya, maka sunat diberikan dia nama. Apabila tidak dikenali apakah dia lelaki atau perempuan, maka diberi nama yang sesuai untuk lelaki atau perempuan seperti Talhah, ‘Umairah dan sebagainya. Demikian juga sunat diberi nama anak yang belum sempat diberikan nama sebelum dia meninggal dunia.
Sunat mengadakan walimah (kenduri) bagi aqiqah itu. Kerana ianya termasuk dalam salah satu yang sunat diadakan kenduri, seperti kenduri kahwin, selepas melahirkan anak, selesai membina bangunan, orang yang terkena musibah, orang yang balik daripada musafir, kenduri kerana hafaz dan khatam al-Qur’an dan berkhatan. (Raudhah ath-Thalibin: 5/646)
Sunat mengkhatan anak damit itu pada hari ketujuh daripada kelahirannya jika anak itu tidak lemah ataupun ianya terdaya untuk berkhatan. (Al-Majmu‘: 1/367) Sebagaimana di dalam hadis Jabir katanya yang maksudnya :
"Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengaqiqahkan Hasan dan Husain dan mengkhatankan keduanya pada hari ketujuh."
(Hadis dikeluarkan oleh al-Baihaqi)
Perbezaan Antara Aqiqah Dan Korban
Kebanyakkan daripada hukum aqiqah dan korban itu mempunyai persamaan, sama ada dalam hukum sedekah, hadiah, makan, menyimpan daging dan menentukan kadar daging yang dimakan adalah sama dan tiada perbezaan di dalamnya.
Walaupun yang demikian itu, ada sedikit perbezaan hukum antara aqiqah dan korban tersebut. Seperti daging aqiqah itu hendaklah dimasak terlebih dahulu, sedangkan korban diberikan dalam keadaan mentah. Daging aqiqah jika diberikan kepada orang kaya nescaya akan menjadi miliknya, manakala daging korban jika diberikan kepada orang kaya tiadalah orang kaya itu memilikinya, hanya untuk dimakannya sahaja.
Demikian juga, ada perbezaan dari segi waktu. Amalan berkorban itu dituntut waktunya pada Hari Raya Adha dan hari-hari Tasyriq iaitu hari ke sebelas, dua belas dan tiga belas daripada bulan Zul Hijjah. Sementara aqiqah pula tidak terikat dengan waktu.
Best Casinos in Miami, FL - Mapyro
ReplyDelete› search › casinos › search › casinos Casino Miami, FL. 통영 출장안마 Address. 888 의왕 출장샵 Casino Dr, 전주 출장안마 Miami, FL 30522 United 김포 출장안마 States. Directions · (561) 공주 출장안마 631-7877. Phone. (954) 320-8000. Fax. 718-7459.