Carian Hukum Kambing

Monday, October 31, 2011

Hukum Aqiqah Sendiri Setelah Dewasa

Soalan tentang Hukum Aqiqah Sendiri Setelah Dewasa

Apa hukum melaksanakan aqiqah bagi diri sendiri setelah dewasa kerana ibubapa tidak mampu semasa kecil? Bagaimana pula hukumnya saya tidak membayar zakat simpanan bagi memberikan bantuan kepada ibubapa yang memerlukan?

Baca Jawapan Penuh Disini...

Apa Hukum Aqiqah Nazar Sunat diberi Non Muslim

Hukum Aqiqah Nazar Sunat Beri Pada Non Muslim

Assalamu'alaikum Wrmbth,

Saya mempunyai kemusykilan tentang hukum memberikan daging aqiqah yang dinazarkan dan diberi kepada bukan islam. Bagaimana pula jika ia aqiqah sunat adakah hukumnya sama?

Baca Jawapan Penuh Disini...

Apa Hukum Daging Aqiqah Beri Siap Masak

Assalamu'alaikum Wrmbth,

Dalam satu situasi dimana seekor lembu ditumbangkan untuk ibadah aqiqah, bagaimana hukum memberikan daging aqiqah yang siap dimasak terlebih dahulu? Memberi jemputan bukan islam makan daging aqiqah? Melaksanakan ibadat aqiqah walaupun pernah melaksanakannya dahulu?


Baca artikel penuh disini...

Sunday, October 30, 2011

Aqiqah dan Syafaat Anak Kecil

Assalamu'alaikum wrmbth, bagi artikel penuh ustaz zaharuddin klik sini
Syafaat Anak Kecil & Aqiqah

Saya hanya mampu mendoakan al-marhumah Nurin Jazlin mendapat kenikmatan terbaik di alam barzakh ketika ini dan akhirat kelak. Moga ibu bapanya yang mampu redha dan sabar juga layak mendapat 'title' orang beriman dan redha Allah s.w.t. Ia sememangnya tidak mudah, tetapi redha adalah suatu kewajiban dan bukan pilihan.
Jika sekiranya ibu bapa Nurin Jazlin belum melakukan aqiqah untuknya, eloklah dibuat aqiqah tersebut.
Menurut Imam Ahmad r.h, sekiranya anak kecil meninggal dunia dalam keadaan belum diaqiqahkan, anak tersebut tidak akan membantu (memberi syafaat) kedua ibu bapanya di akhirat. Justeru, syafaat dari anak kecil yang meninggal untuk si ibu bapa adalah bergantung kepada aqiqahnya ( Mirqat Al-Mafatih, 8/78). Wallahu 'alam.
Ia berdasarkan kefahaman Imam Ahmad dari hadis :-
الغلام مرتهن بعقيقته تذبح عنه يوم السابع ويسمى ويحلق رأسه
Ertinya : anak tergantung kepada aqiqahnya, dilakukan sembelihan aqiqah pada hari ketujuh dan diberi nama serta dicukur kepalanya" ( Riwayat At-tirmizi dan Ahmad )
Justeru bagi semua ibu bapa samada Nurin Jazlin atau lain-lainnya, jika terdapat anak yang meninggal dunia dalam keadaan Islam, berusahalah menjadi ibu bapa yang beriman secara tulen. Allah s.w.t pasti akan menghubungkan anak dan ibu bapanya semula di akhirat. Janganlah terlalu bersedih dengan pemergiannya. Firman Allah s.w.t :-
والذين آمنوا واتبعتهم ذريتهم بإيمان ألحقنا بهم ذريتهم وما ألتناهم من عملهم من شيء
Ertinya: "Dan orang-orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan Kami tiada mengurangi sedikit pun dari pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya." ( At-Tur : 21 )
I
sayu dan sebak
InshaAllah, anak-anak kecil yang meninggal ini akan berada di syurga Allah s.w.t. Disebut dalam kitab Ad-Durr Al-Manthur sesungguhnya orang yang beriman dan anak-anaknya akan berada di dalam syurga bersama-sama. (Ad-Durr Al-Manthur, 7/633 ; Tafsir At-Tabari, 27/25)
Bagaimanapun, jika seseorang ingin bersama anaknya tersebut,   perlulah ia melakukan amal soleh dan menjadi orang yang beriman dengan benar-benar iman.

Apa Hukum Aqiqah Kambing Import Salin Gigi

Soalan
Apa Hukum menggunakan kambing import yang cukup umur 2 tahun atau sudah bersalin gigi digunakan untuk aqiqah?

Saya seorang penternak kambing memerlukan jawapan tuan untuk hukumnya. Terima kasih

Baca Jawapan Penuh..

Apa Hukum Daging Aqiqah untuk Kenduri Kahwin

Soalan
Tertanya-Tanya Hukum Daging Aqiqah Untuk Kenduri Kahwin
Apakah hukum menggunakan daging sembelihan ibadat aqiqah untuk kenduri kahwin.
Bagaimana pula jika tuan rumah menerima sumbangan wang daripada majlis yang menghidangkan daging aqiqah?
Baca Jawapan Lanjut...

PERBEZAAN QURBAN DAN AQIQAH.

Assalamualaikum Wrmbth,

Artikel ini saya petik dari SINI

PERBEZAAN QURBAN DAN AQIQAH.


1) Definisi dari sudut syarak

Qurban: Ialah sembelihan binatang an’am pada hari Nahar dan hari Tasyriq untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Aqiqah: Ialah sembelihan binatang an’am sempena kelahiran anak sebagai tanda bersyukur kepada Allah.

2) Hukum

Kedua-duanya sunat muakkad dan wajib jika dinazarkan.

Qurban: Sunat kifayah bagi satu keluarga. Memadai seorang sahaja yang berqurban bagi seisi rumah.

Aqiqah: Sunat atas wali (bapa) mengaqiqahkan anakyang baru lahir hingga umur baligh. Setelah baligh sunat atas diri sendiri. Sah juga wali atau penjaga mengaqiqahkan anak yang sudah baligh.

3) Masa / tempoh

Qurban: Setiap tahun dari terbit matahari 10 zulhijjah (hari Nahar) hingga tenggelam matahari 13 Zulhijjah (hari Tasyriq).

Aqiqah: Bila-bila masa selagi belum dibuat aqiqah.



4) Kekerapan

Qurban: Boleh setiap tahun bagi setiap orang.

Aqiqah: Hanya sekali selagi belum beraqiqah kecuali aqiqah yang sebelumnya tidah sah kerana tidak menepati syarat seperti binatang an’am itu cacat yang aib.



5) Pembahagian

Qurban: Sunat dibahagikan daging mentah dengan nisbah 1/3 untuk tuan 1/3 untuk sedekah kepada fakir miskin dan 1/3 hadiah atau 2/3 sedekah kepada fakir miskin.

Aqiqah: Sunat dimasak dahulu dan sunat dilebihkan manis semoga manis akhlak anak itu. (Tulang binatang aqiqah sunat tidak dipatah-patahkan sempena mengharapkan anak itu tidak cacat).



6) Jika dinazarkan

Qurban: Tidak harus tuannya mengambil walaupun sedikit. Wajib disedekah dan hadiah semuanya.

Aqiqah: Boleh diambil oleh tuannya (kerana hendak dimasak dan diberi makan kepada orang).



Hukum aqiqah : Sunat (Muakkadah – sangat dituntut).

Dalilnya :

1) Riwayat An-Nasai dari Buraidah dan Ibnu Abbas r.a.; “Rasulullah S.A.W.mengaqiqah Hasan dan Hussain, masing-masing seekor kibas” (Al-Majmuk, 8:426,428).

2) Riwayat, Abu Daud, At-Tirmizi, An-Nasai, Ibnu Majah dari Ummi Karz katanya: “Aku bertanya Rasulullah S.A.W.mengenai aqiqah”. Jawab baginda: “Untuk anak lelaki dua ekor kambing dan untuk anak perempuan seekor” (Al-Majmuk, 8:426).

Kata Buraidah bin Al-Hasib بـريدة بن الحصيب, Hassan Al-Basri, Abu Az-Zannad, Daud Az-Zohiri, hukum aqiqah adalah wajib.

Kata Imam Abu Hanifah Aqiqah itu wajib tidak sunat pun tidak tatapi bid’ah.

Al-Imam As-syafi’i membuat ulasan terhadap kedua-dua pendapat ini katanya: “Ada Pendapat yang melampau mengenai aqiqah, satu mengatakan wajib dan satu lagi mengatakan bid’ah”. (Al-Majmuk, 8:447).

Waktu / Umur anak : Sunat pada hari ke tujuh.

Dalilnya : Riwayat Al-Baihaqi dari Aisyah r.a. : ” Rasulullah S.A.W. mengaqiqahkan Hassan dan Hussain pada hari ke tujuh, memberi nama kedua-duanya dan membuang kotoran dari kepala mereka (mencukur rambut mereka)”. (Al-Majmuk, 8:427).

* Jika tidak dapat pada hari ketujuh, tunda pada hari ketujuh berikutnya iaitu hari keempat belas.

* Jika tidak dapat hari keempat belas, tunda pula tujuh hari kemudian iaitu hari kedua puluh satu.

(Ini adalah waktu pilihan. Begitulah seterusnya ditunda seminggu seminggu) Ada yang mengatakan waktu pilihan hanya setakat dua puluh satu hari sahaja). (Al-Majmuk, 8:431).

* (Jika lebih dari itu dapat pahala aqiqah tetapi terlepas pahala memilih hari yang afdal).

Saturday, October 22, 2011

Hukum Projek Perkongsian Pintar Ternak Kambing

Assalamualaikum Wrmbth,

Bagi mereka yang berminat menceburi pelaburan ternakan kambing, saya sarankan baca dan fahamkan artikel ini yang saya ambil dari laman web ustaz zaharuddin. Sebuah artikel lama tetapi masih relevan hari ini.

Projek Perkongsian Pintar Ternakan Kambing : Komen Hukum


Soalan

Salam Uztaz.

Saya mendapat tahu tentang peluang perniagaan ini ( disertakan bersama ) maklumat tentang perniagaaan diatas.

Saya bercadang untuk terlibat dalam projek ini, namun saya ada rasa was² dgn konsep perniagaan dan pembahagian keuntungannya.

Memikirkan, mencari yang HALAL itu fardhu bagi saya, dan muslimin dan muslimat yang lain, saya nak minta jasa baik ustaz

Untuk memberikan nasihat dari segi syara' tentang perniagaan ini samada boleh diceburi atau sebaliknya.

Semoga Ustaz sudi membantu.

Sekian, terima kasih.

Wasallam

Aini

(melalui email)

KOMENTAR RINGKAS SAYA

Saya beberapa kali menerima pertanyaan berkenaan perniagaan kambing yang dikatakan amat baik.

Komentar ini tidak menumpukan kepada syarikat dan latar belakang syarikat, justeru setiap pihak yang ingin turu serta perlulah melakukan semakan sendiri terhadap lesen dan lain-lain keperluan yang diperlukan untuk menjadi sebuah perniagaan yang sah.

Komentar ini hanya menumpu kepada modul perniagaan yang dijalankan.

Sekali baca, perniagaan ini dibuat menggunakan aqad Bai al'Inah ( iaitu jual satu barang dengan harga tunai (cth RM 550) dan kemudian penujual membeli balik barang tadi dari pembeli dengan harga lebih tinggi (cth RM beli 900) dengan bayaran secara tangguh.

Bai Al-Inah bentuk sebegini adalah konsep jual beli yang diterima oleh kebanyakan ulama Malaysia, tetapi ditolak oleh ulama Timur Tengah.

Namun, jika dilihat lebih lanjut, masih terdapat beberapa perkara yang perlu dipantau dari sudut Syariah bagi menjadikannya halal. Anda boleh rujuk komentar saya di bwah setiap nota dan info program (saya perolehi melalui email dari orang yang ingin masuk)

Bagaimana Program ini Berfungsi?

1. Anda sebagai pihak pertama bersetuju membeli _____ ekor kambing dengan harga RM550.00 seekor.

Komen UZAR : Ini ok

2. Anda memberi kuasa kepada syarikat untuk membela dan menggemukkannya selama 2 bulan (60 hari).

Komen UZAR : Ini mesti punyai aqad wakalah (agent) dan mestilah dipisahkan dari aqad belian pertama di atas tadi. Bermakna, pelanggan mesti diberi ruang pilihan samada untuk melantik syarikat sebagai wakil atau ingin membela sendiri.

Jika ia secara automatic, ia boleh membatalkan aqad belian kerana berupa paksaan. Ia juga akan tergolong dalam transkasi jualan dengan syarat yang tidak berkaitan dengan jualan.

Jika tiada paksaan, dan anda selaku penjual sukarela berjanji untuk menjual semula, ia harus dan halal menurut kebanyakan Ulama Malaysia.

Klik SINI bagi membaca artikel penuh

Nasihat dari saya, jangan tergopoh gapah menceburi apa-apa skim pelaburan tanpa memahami kaedah dan peraturan. Sekarang ini bukan sedikit kes penipuan yang berlaku. Semoga beroleh manfaat

Thursday, October 20, 2011

Hukum Ibadah Aqiqah

Hukum Ibadah Aqiqah
Soalan 31

Apakah hukum melakukan Ibadah Aqiqah dalam Islam ?
Jawapan

Hukum membuat 'kenduri' bagi anak yang baru lahir hukumnya harus dan hukum ibadah aqiqah itu adalah Sunat Muakkad, caranya ialah :
Membuat Aqiqah dengan menyembelih seekor kambing bagi kanak-kanak lelaki dan perempuan. Jika mampu yang afdalnya bagi kanak-kanak lelaki dua ekor kambing dan sebaiknya disedekahkan daging kambing itu kepada fakir miskin dan lain-lain sesudah dimasak.
1. Hukum aqiqah itu adalah sama dengan ibadah qurban iaitu Sunnat Muakkad kecuali dinazarkan menjadi wajib.
2. Penyembelihan aqiqah ialah pada hari ketujuh dari kelahiran bayi atau pada hari ke empat belas atau ke dua puluh satu. Jika tidak dapat maka bila-bila masa selagi anak itu belum baligh.
3. Jika anak telah baligh, maka gugur tuntutan atas walinya dan sunnat bagi dirinya (individu yang berkenaan) mengaqiqahkan untuk dirinya sendiri. Hal ini berdasarkan hadis dari Ahmad, Abu Dawud dan al-Tabrani, bahawa Rasulullah s.a.w. pernah mengaqiqahkan dirinya sendiri sesudah Baginda s.a.w. diangkat menjadi Rasul.
4. Anak zina, aqiqahnya sunnat atas ibunya kerana nafkah hidup anak zina itu tanggungan ibunya bukan bapanya. Demikian pendapat Syaikh Ibnu Hajar dan Syaikh Ramli, manakala Khatib Syarbini pula berpendapat, adalah tidak sunnat bagi ibu mengaqiqahkan anak zinanya meskipun si ibu memberi nafkah kepadanya.
5. Anak lelaki disembelihkan dua ekor kambing (tetapi sah sekiranya seekor) dan perempuan memadai dengan seekor kambing.
Diriwayatkan daripada Aisyah, bahawa Rasulullah s.a.w. memerintahkan para sahabat agar menyembelih aqiqah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang umurnya sama dan untuk anak perempuan seekor kambing. (Riwayat al-Turmuzi).
Daripada Ibnu Abbas r.a. pula menyatakan: Bahawa Rasullullah s.a.w. menyembelih aqiqah untuk Hasan dan Husin masing-masing dengan seekor kambing. (Riwayat Abu Dawud)
 

Saturday, October 15, 2011

Hukum Daging Aqiqah Diberi Kepada Non-Muslim

Daging Aqiqah Diberi Kepada Non-Muslim

Kemusykilan: hidangan majlis tu ialah daging kambing akikah, boleh ke daging ibadah akikah tu diberi makan kepada orang kafir? bagaimana pula dengan daging ibadah korban

Jawapan

Aqiqah disebut dalam hadith :-
مع الغلام عقيقة فأريقوا عنه دماً وأميطوا عنه الأذى
Ertinya : " Bersama bayi yang lahir itu aqiqah, maka kerna itu mengalirkanlah darah (sembelihan) untuknya, dan jauhkan baginya segala kesakitan (godaan syaitan) ( Riwayat Al-Bukhari)

كلُّ غُلامٍ رَهينٌ بعَقيقته، تُذبَحُ عنه يومَ سابعِه ويُسمَّى فيه ويُحلق رأسُه".
ُErtinya : "Setiap anak perlu dipajakkan (terhutang) dengan aqiqah, disembelih untuknya pada hari ketujuh umurnya, dan diberi nama dan dicukur rambut kepalanya" ( Riwayat Ashabus Sunan )
Aqiqah itu pula dari sudut bahasanya adalah 'tolakan', iaitu tolakan dari gangguan dan godaan Syaitan.
Berkenaan beri kepada non muslim, saya dapati tiada dalil mahupun pendapat ulama yang meletakkan syarat bahawa si penerima adalah orang Islam sahaja. Justeru...wallahu a'lam.. saya kira ianya adalah harus.
Cuma sudah tentu yang lebih baik adalah penerima dari kalangan orang Islam kerana diharapkan adalah sipenerima memahami lalu mendoakan si kanak-kanak tadi apabila menerima hidangan hasil aqiqah itu.  Jika beri pada bukan Islam, manalah mereka faham aqiqiah tu apa ..:)
Falsafah 'aqiqah adalah sebagai tanda kesyukuran bagi anugerah cahaya mata yang dikurniakan oleh Allah SWT. Justeru ia lebih baik di kongsi sesama Islam. Ini kerana ia juga seumpama satu peringatan kpd yg lain untuk beraqiqah juga untuk anak mereka (jika belum). Non-Muslim tiada peruntukan aqiqah..
Sebagai tambahan info ; Kebanyakkan ulama menggalakkan daging dari hasil sembelihan itu dimasak terlebih dahulu sebelum di edarkan kepada faqir miskin, jiran tetangga walaupun mereka kaya.

Bagaimanapun, menurut satu pandangan :- 
" Daging aqiqah dan korban haram diberi kepada bukan Islam kerana korban dan aqiqah merupakan amal ibadah kepada Allah. Ia bertujuan untuk bertaqarrub kepada Allah. Ini ada disebut dalam Fatwa Syeikh Ahmad al Fatthani.
Tapi kalau bukan Islam nak beli satu bahagian daripada daging lembu itu untuk kegunaan peribadi, bukannya utk korban, maka harus hukumnya menurut Syeikh Daud al fatthani dalam Furu'ul masaa'il. "
Komen saya :
Ada benarnya, ini salah satu ijtihad yang sangat boleh dipegang. Bagaimanapun, ia tidak qat'ie dan ia masih dalam kategori perkara furu'/cabang.

Jika hujjah utama oleh beberapa ulama terulung tempatan di atas adalah "ia hal taqarrub"..maka anda boleh berhujjah bahawa hal taqarrub itu adalah terhenti di ketika niatnya, sembelihan dan hidangan dibuat..adapun hal ehwal mengedarkannya tidak lagi termasuk dalam hal yang menjadi syarat kepada taqarrub itu. Ia lebih kepada hal kemasyaratan sahaja.

Seperti solat.. ia adalah hal taqarrub kpd Allah..maka ada rukun dan syaratnya untuk memenuhi taqarrub yang disasarakan demikian juga solat di tempat yang suci adalah syarat sah utk taqarrub solat ini, tapi samada sejadah itu dibeli dari kedai non muslim atau tidak.. maka ia tidak memberi kesan kpd ibadah solat...ia cuma kurang digalakkan sahaja.

Dan mengedarkannya daging aqiqah kpd muslim sahaja, bukanlah menjadi syarat sah aqiqah dalam semua mazhab (kecuali jika saya tersilap, iaitu ada mazhab yg menajdikannya syarat sah aqiqah).
Malah jika seseorang bersedeqah kepada seorang bukan Islam di ditemuinya di keadaan yang amat memerlukan. Adakah tiada pahala baginya??? Ini tidak benar sama sekali, derma dan kebaikan yang dilakukan oleh Umat Islam adalah bersifat 'taqarrub' kepada Allah, dan ia pasti diterima walaupun penerima bantuan itu seorang kafir. Cuma, jika ada dua peminta antara Muslim dan kafir, sudah tentu lebih besar pahalanya diberikan kepada si Muslim. Bagaimanapun, ia tidak menjadikan hukum HARAM untuk diberi kepada si bukan Islam.
Justeru ia kekal isu yang sangat furu' dan bebas memilih dalam kedua-dua fatwa ulama. wallahu ''lam. 
sekian

UZAR
7 Dis 06
16 ZUlkaedah 1427 H

Link Asal Artikel 

HUKUM AQIQAH DAN QURBAN MENGGUNAKAN KAMBING BAKA BOER

HUKUM AQIQAH DAN QURBAN MENGGUNAKAN KAMBING JENIS BAKA BOER PDF Cetak E-mail
LINK ASAL


hukum aqiqah dan Qurban menggunakan kambing jenis baka boer.

1.0     TUJUAN
1.1     Kertas ini disediakan adalah untuk mendapatkan pertimbangan dan keputusan daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan berhubung hukum qurban dan aqiqah menggunakan kambing jenis baka boer yang berusia dari 6 hingga 12 bulan dan mempunyai saiz yang cukup besar tetapi belum tertanggal gigi.

2.0     LATARBELAKANG
2.1             Persoalan ini diajukan oleh En. Zafri Isam Iskandar daripada Pedas Wawasan Ternak.

2.2             Beliau menyatakan, kambing jenis baka boer yang berusia dari 6 hingga 12 bulan mempunyai saiz yang cukup besar menyamai saiz kambing biasa yang berumur 2 tahun.

2.3             Berikut dinyatakan beberapa maklumat tentang kambing jenis baka boer[1]:

Asal usul Kambing Boer pada dasarnya tidak begitu jelas, tetapi ramai penyelidik mempercayai ia mempunyai gene pool dari pelbagai baka terutama kambing asli Afrika yang menjadi binatang ternak suku Namaqua Hottentots dan suku asli yang berhijrah dipanggil ‘Souhtern Bantu’.

Di percayai juga terdapat pengaruh kambing dari India, Angora dan Eropah. Kelahiran kambing polled (tidak bertanduk) dipercayai mempunyai pengaruh baka kambing susu dari Eropah. Boer bermaksud ‘farm’ atau ‘ladang’ dalam bahasa Belanda. Boer yang kelihatan hari ini telah ujud semenjak awal 1900an apabila beberapa ladang di Wilayah Timur Cape, Afrika Selatan mula membuat pemilihan baka untuk tujuan pengeluaran daging kambing.
Pada 1959 , pembiakkan dan pemilihan Kambing Boer mula di kawalselia oleh Boer Goat Breeder’s Association.

Boer adalah binatang yang kuat dan mantap, konformasi badan yang baik. Kakinya pendek, tegap, berisi serta paha dan bahagian belakang yang tegap dan berotot. Ianya jelas menggambarkan ciri-ciri kambing daging yang baik.

Kambing Boer Jantan mencapai berat 110-135 ketika matang manakala kambing betina 90-100 kg.

3.0     ASAS PERTIMBANGAN
3.1             Qurban ialah ibadah. Setiap qurban yang dilakukan kerana ibadah mempunyai hikmah dan faedah selain daripada mengabdikan diri kepada Allah. Hal ini samalah dengan ibadah-ibadah yang lain.

3.2             Hikmah yang paling jelas dan tinggi nilainya tentang qurban adalah untuk menghayati semangat pengorbanan agung yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS, iaitu ketika Allah menguji Baginda supaya menyembelih anaknya. Kemudian Allah menebuskan dengan seekor kibasy yang diturunkan-Nya dan memerintahkan Baginda menyembelihnya. Peristiwa ini  berlaku setelah Nabi Ibrahim dan anaknya berusaha bersama-sama melaksanakan perintah Allah.

3.3             Di samping hikmah tersebut, ibadah qurban juga menolong orang fakir dan orang yang berhajat serta menggenbirakan mereka, anak isteri dan keluarga pada hari raya. Seterusnya dapat mengeratkan hubungan persaudaraan antara anggota masyarakat Islam dan menanamkan semangat hidup berjamaah serta berkasih sayang.

3.4             Usia Kambing yang boleh dibuat Qurban.
3.4.1      Pertama sepakat di kalangan ulama bahawa kambing yang berusia dua tahun ke atas sama seperti lembu, manakala biri-biri pula yang telah masuk tahun yang kedua atau yang telah tanggal gigi hadapannya sekalipun umurnya belum sampai setahun[2].

3.4.2      Kedua jika kurang daripada dua tahun
Sebelum membincangkan hukumnya, di sini dinyatakan nama bagi kambing atau biri-biri mengikut usianya

1.     al Sakhlahالسخلة  ) ialah :-
i.        Anak kambing ketika dilahirkan sama ada jantan atau betina[3].
ii.      Anak kambing biri-biri[4].

2.    al  Jaza`ah الجذعة ( )daripada al Dha`n الضأن  )ialah :-
i.        Anak kambing  biri-biri yang berusia 8 hingga 9 bulan[5].
ii.      Anak kambing biri-biri yang telah berusia enam bulan dan telah masuk bulan yang ketujuh[6].

3.5             Oleh kerana matlamat Qurban itu dengan binatang yang baik, besar dan cukup syarat-syarat tetapi berkenaan dengan tahun kebanyakkan ulama hanya mentakdirkan secara ijihad.

3.6             Justeru dinyatakan mengikut mazhab :
i.        Jumhur Ulama, Hanafi, Hanbali dan sebahagian Maliki : memadai kambing biri-biri yang besar yang telah berumur enam bulan dan memasuki bulan yang ke tujuh. Hal ini berdasarkan kepada hadith riwayat Ibn Majah dan Imam Ahmad daripada: Ummi Bilal binti Hilal daripada bapanya, sabda Rasulullah SAW,

يجزئ الجذع من الضأن أضحية
Yang bermaksud, Memadai kambing biri-biri yang berusia lapan ke sembilan bulan untuk dibuat qurban.

Mengikut riwayat al-Nasaie daripada Uqbah bin Amir RA sabda Rasulullah SAW,

ضحوا بالجذع من الضأن فإنه جائز
Yang bermaksud, Qurbankanlah kambing biri-biri (usia antara lapan ke sembilan bulan) maka sesungguhnya ia memadai.

Mengikut riwayat Muslim dariapda Jabir RA bahawa Rasulullah bersabda,

لا تذبحوا إلا مسنة، فإن تعسر عليكم فاذبحوا جذعة من الضأن
Yang bermaksud, Jangan sembelih qurban kecuali yang berusia setahun. Jika menjadi kesukaran kepada kamu maka sembelihlah kambing biri-biri (usia antara lapan ke sembilan bulan).

ii.      Al-Maliki dan al-Shafie: Mensyaratkan cukup setahun dan masuk tahun yang kedua[7].

3.7             Tarjih.
3.7.1    Pendapat yang lebih sah  أصح  ), dibolehkan walaupun belum cukup setahun kerana masalah ini adalah ijtihadi berkenaan dengan nama dan juga usianya.

3.7.2      Dalam Lisan al-Arab menyebut terlalu banyak pendapat berkenaan dengan al-Dha`n dan al- Jaza`ah.

3.7.3      Mengikut Ibn al-A`rabi iaitu berusia antara enam hingga ke tujuh bulan.

4.0     KESIMPULAN DAN SYOR
Mengesyorkan kepada ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa bahawa kambing boer berumur enam hingga 12 boleh dijadikan binatang qurban dan aqiqah. Ini juga pendapat Waqi’ yang menyatakan usia 6 atau 7 bulan seperti yang dinukilkan oleh Ibnu Qudamah dalam al-Mughni[8].


[1] Sumber Internet
[2] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, Ali al-Syarbaji, 2004, Manhaj Fiqh al-Shafie, Jabatan Mufti N.Sembilan,Jld 1 hlmn 540
[3] Ibnu Manzur, 1988, Lisan al-Arab, Dar al-Jil Beirut/Dar Lisan al-Arab, Jld 3 hlmn 114. Qamus Besar Arab Melayu Dewan 1107.
[4] Muhammad Idris al-Marbawi, cetakan ke-4, Kamus al-Marbawi, hlmn 282.
[5] Qamus Besar Arab Melayu Dewan 283
[6] Abi al-Hasan Ali bin Muhammad bin Habib al-Mawardi al-Basri, 1994, al-Hawi al-Kabir, Jld 3 hlmn 113. Ibnu Qudamah, 1996, al-Mughni, Dar al-Hadith Keherah
[7] Wahbah al-Zuhaili, 1996, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, Dar al-Fikr, Jld 3 hlmn 614-615.
[8] Abi al-Hasan Ali bin Muhammad bin Habib al-Mawardi al-Basri, 1994, al-Hawi al-Kabir, Jld 3 hlmn 113. Ibnu Qudamah, 1996, al-Mughni, Dar al-Hadith Keherah, Jld 13 hlmn 139.





hukum aqiqah dan Qurban menggunakan kambing jenis baka boer.
(KERTAS TAMBAHAN)

1.0     TUJUAN
1.1     Kertas ini adalah kertas tambahan berhubung hukum qurban dan aqiqah menggunakan kambing jenis baka boer yang berusia dari 6 hingga 12 bulan dan mempunyai saiz yang cukup besar tetapi belum tertanggal gigi.

2.0     LATARBELAKANG
2.1             Di dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa bil 1/1429 telah dibentangkan kertas berhubung hukum qurban dan aqiqah menggunakan kambing jenis baka boer yang berusia dari 6 hingga 12 bulan dan mempunyai saiz yang cukup besar tetapi belum tertanggal gigi.

2.2             Mesyuarat memutuskan supaya hukum mengenai perkara ini ditangguhkan dan satu kajian berhubung dengan sifat fizikal dan perangai kambing jenis baka boer dilakukan.

2.3             Sehubungan dengan itu, satu lawatan di Ladang Ternakan Kambing, Kampung Pah, Jelebu, iaitu ladang ternakan milik Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Negeri Sembilan, telah diadakan pada 4hb Jun 2009 untuk mendapatkan maklumat mengenai kambing tersebut.
2.4             Rombongan Jabatan telah mendapat taklimat dan kerjasama  daripada Dr. Azman, wakil daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Negeri Sembilan dan Dr. Khairil, Pengurus Ladang Ternakan Kambing.

3.0     ASAS PERTIMBANGAN

3.1             Sifat Fizikal Kambing Jenis Baka Boer:
                                                                      i            Berat
§        Berat lahir adalah antara 2-3 kg (kebiasaan).
§        Berat ketika berumur 6 bulan antara 30-35kg.
§        Berat ketika berumur 1 tahun 40-45 kg.
§        Berat ketika berumur 2 tahun mencecah 80 kg.

Berat lahir kambing Kacang antara 1.2-2.5 kg manakala berat matang (berumur 2 tahun) bagi kambing Kacang jantan dan betina masing-masingnya 15-25 kg dan 25-35 kg.

                                                                    ii            Boer telah salin gigi ketika berumur 1 tahun.

3.2             Sifat perangai Kambing Jenis Baka Boer:
                                                                      i            Boer jantan matang pada umur 6 bulan manakala yang betina pada umur 8-11 bulan.
                                                                    ii            Rekod di Ladang Ternakan Kambing, Kampung Pah, Jelebu, boer betina bunting ketika berumur 9 bulan.

3.3             Mengikut hukum Syarak, usia Kambing yang boleh dibuat Qurban,
3.3.1      Pertama sepakat di kalangan ulama bahawa kambing yang berusia dua tahun ke atas sama seperti lembu, manakala biri-biri pula yang telah masuk tahun yang kedua atau yang telah tanggal gigi hadapannya sekalipun umurnya belum sampai setahun[1].

3.3.2      Kedua jika kurang daripada dua tahun
Jumhur Ulama, Hanafi, Hanbali dan sebahagian Maliki : memadai kambing biri-biri yang besar yang telah berumur enam bulan dan memasuki bulan yang ke tujuh

Al-Maliki dan al-Shafie: Mensyaratkan cukup setahun dan masuk tahun yang kedua[2].

4.0     KESIMPULAN DAN SYOR
Mengesyorkan kepada ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa bahawa kambing jenis Boer berumur 1 tahun boleh dijadikan binatang qurban dan aqiqah. Ini kerana ianya memenuhi syarat telah tanggal gigi hadapannya, mempunyai badan yang besar dan telah matang.







[1] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, Ali al-Syarbaji, 2004, Manhaj Fiqh al-Shafie, Jabatan Mufti N.Sembilan,Jld 1 hlmn 540
[2] Wahbah al-Zuhaili, 1996, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, Dar al-Fikr, Jld 3 hlmn 614-615.



KEPUTUSAN MESYUARAT JAWATANKUASA FATWA
BIL 1/1430
7 Rejab 1430H
30hb Jun 2009M

__________________


Kambing jenis baka Boer berumur 1 tahun boleh dijadikan binatang qurban dan aqiqah. Ini kerana ianya memenuhi syarat telah tanggal gigi hadapannya, mempunyai badan yang besar dan telah matang.